Kes Penculikan dibahas di Dewan

KUALA LUMPUR - Isu penculikan dua wanita termasuk seorang warga China di sebuah resort di Pulau Singamata, Semporna, Sabah akan dibincangkan di Dewan Rakyat pada persidangan sebelah petang hari ini.

Usul mengenainya diluluskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, yang menyatakan bahawa usul itu memenuhi tiga kriteria utama iaitu merupakan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (3), perbahasannya bermula pukul 4.30 petang dan akan ditangguhkan pada 5.30 petang.

"Perbahasan akan dibenarkan selama 30 minit dan kerajaan akan menjawab selama 30 minit," katanya.

Usul mengenai insiden penculikan pada Rabu lepas itu dikemukakan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan) yang antara lain mencadangkan supaya tahap keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah dibincangkan di Dewan Rakyat bagi memastikan kewujudannya benar-benar dapat menyekat kejadian serupa daripada berulang. 

sumber- Bernama