Kuin terima pelajar Aiu sambung pengajian

ALOR SETAR – Kolej Universiti Insaniah (Kuin), kolej universiti milik kerajaan Kedah, bersedia untuk menerima kemasukan pelajar dari Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) di sini yang dijangka ditutup pada Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata pengurusan Kuin telah mengadakan perbincangan dengan AiU berhubung perkara itu.
Katanya AiU sebelum ini telah menghebahkan pengambilan pelajar universiti itu kepada Institusi Pengajian Tinggi di negeri ini yang berminat untuk mengambil pelajar mereka selepas surat permohonan penutupan universiti itu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan 14 Mac lepas.
Beliau dimaklumkan oleh Rektor Kuin Prof Datuk Mohd Yusof Kasim bahawa AiU memberi kebebasan kepada pelajarnya untuk memilih mana-mana universiti atau kolej universiti untuk menyambung pelajaran.
“Saya juga difahamkan pihak AiU juga akan menaja yuran pengajian pelajar mereka yang akan belajar di kolej lain sehingga mereka tamat pengajian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tajul Urus berkata setakat ini AiU juga tidak pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan tidak memaklumkan sebab penutupan universiti terkemuka itu.
“Kita tahu perkara ini menerusi media sahaja. Kerajaan negeri agak kecewa jika universiti itu ditutup tanpa sebarang sebab. Notis penutupan yang dihantar kepada kementerian juga tanpa diketahui kerajaan negeri,” katanya.
AiU dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap penuntut yang rata-rata daripada golongan susah dari seluruh dunia. – BERNAMA