ALOR SETAR – Seorang suri rumah kini menanggung derita sakit dan
dijangkiti kuman, malah terpaksa dirawat di hospital, gara-gara digigit
dan dicakar pada pergelangan tangan dan lengan kanan oleh seekor kucing
jantan baka Siam peliharaannya yang ‘naik minyak’, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 5 petang, Rusita Ahmad, 50, mahu membawa pulang
kucing berusia enam tahun yang diberi nama Putih itu selepas disedari
keluar dari kawasan rumahnya di Taman Setia, di sini, sebelum kucing itu
menyerangnya dan terpaksa ‘bertarung’ dengannya selama tiga minit.
Kecederaan teruk akibat digigit dan dicakar kucing itu
menyebabkan Rusita terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar
sebelum dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini,
berikutan jangkitan kuman pada Rabu lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, Rusita berkata, dia berehat di
ruang tamu sebelum dimaklumkan oleh anak sulungnya Nurhafifi Mohd Zuki,
23, bahawa kucing yang dibela sejak kecil dilihat keluar merayau-rayau
di kawasan perumahan mereka.
Katanya, sebelum ini kucing berkenaan tidak pernah keluar atau
bergaul dengan kucing lain, sebaliknya hanya berada di dalam kawasan
rumah, selain ditempatkan di dalam sangkar khas.
Katanya, Nurhafifi enggan mengambil kucing itu, sebaliknya
menyuruhnya membawa pulang ke rumah kerana mungkin masih fobia berikutan
kakinya pernah dicakar haiwan berkenaan, dua bulan lalu.
“Saya kemudian
mengekorinya sejauh kira-kira enam meter sambil memanggil nama Putih
sebelum bulu-bulunya dilihat mengembang lalu menyerkupnya dengan bakul
baju dan membawanya pulang ke rumah bagi dimasukkan ke dalam sangkar. – Harian Metro