Shah Alam – Naib Presiden Persatuan Juruterbang Malaysia (MPA), Kapten Abdul Manan Mansor, tidak pernah dihubungi oleh The Daily Mail atau memberi kenyataan mengenai juruterbang Penerbangan MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Beliau juga menafikan ada memberi kenyataan bahawa Zaharie, 53,
mengalami gangguan psikologi ekoran masalah rumah tangga seperti yang
disiarkan MailOnline iaitu portal online, The Daily Mail.
“Saya tidak mengenali Zaharie secara peribadi, apatah lagi mengetahui jika beliau mengalami masalah rumah tangga.
“Ada ramai juruterbang berdaftar di Malaysia, lebih 4,000 dan tidak
mustahil untuk ada antara kami tidak pernah bertemu,” katanya ketika
dihubungi, semalam.
Portal berita antarabangsa berpangkalan di United Kingdom itu
melaporkan, Manan dalam satu sesi temu bual bersama MailOnline mendakwa
Zaharie mengalami gangguan psikologi.
Anak luah kekecewaan
Sebelum ini, anak kepada juruterbang MH370, Aisyah Zaharie, 28, menyatakan kemarahan dan kekecewaan dengan laporan portal berita luar negara, MailOnline yang didakwa memfitnah.
Dalam laman Facebook beliau, anak sulung Zaharie itu menulis ‘Fitnah
itu lebih teruk daripada membunuh. Saya tidak akan memaafkan anda’, yang
merujuk kepada laporan portal berkenaan.
Sumber: Berita Harian