ALOR SETAR – Berita yang disiarkan
sesetengah media asing berhubung kehilangan Penerbangan MH370 Malaysia
Airlines bertujuan untuk menimbulkan perbalahan antara Malaysia dan
China, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari
ini.
Beliau berkata, sesetengah media ini
mempunyai kecenderungan kepada berita-berita sensasi tanpa menghiraukan
sama sekali perasaan anggota keluarga penumpang terbabit.
“Kita telah melihat bagaimana mereka
berniat jahat bukan sahaja terhadap juruterbang, pembantu juruterbang,
anak kapal dan penumpang tetapi juga kepada seluruh negara. Ini sesuatu
yang tidak dapat diterima sama sekali.
“Saya tidak terkejut jika tumpuan (media
asing) sebenarnya untuk mencetuskan perbalahan antara Malaysia dan
China. Kita mempunyai hubungan yang sangat baik dengan China, kita
mencatatkan lebihan dagangan dengan negara itu (China),” kata beliau.
Penerbangan MH370, yang membawa 227
penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Operasi mencari melibatkan pelbagai
negara digerakkan bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China
Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor – koridor utara yang
menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand
dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Susulan analisis data, syarikat
telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan
Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa MH370 telah terbang di
sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di
tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat
Boeing 777-200 itu bahawa penerbangan MH370 telah “berakhir di selatan
Lautan Hindi”.
Misi pencarian pesawat diteruskan.
Semalam, Aishah, anak perempuan
juruterbang MH370, Kapt Zaharie Ahmad Shah, menyangkal laporan dalam
akhbar The Daily Mail, London yang mendakwa bapanya mengalami gangguan
emosi selama berminggu-minggu sebelum insiden itu.
Laporan muka depan akhbar Daily Mail membawa tajuk “Anak perempuan akui Kapten MH370 Nampaknya Keliru dan Terganggu’. – BERNAMA