Nyaris dirompak 4 lelaki

Pemuda nyaris dirompak empat lelaki

ALOR SETAR - Seorang pemuda berusia 23 tahun melalui detik cemas apabila hampir dirompak empat lelaki dalam satu kejadian di Jalan Lencong Barat, Mergong, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ady dalam perjalanan untuk mengambil wang di sebuah mesin juruwang elektronik (ATM) berhampiran sebelum ditahan dua lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba.

Menurutnya, dia terus memberhentikan kereta sebaik ditahan dua suspek yang berpura-pura bertanya jalan, manakala dua rakan suspek menunggu dalam sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna perak gelap.

“Tiba-tiba mereka rampas kunci kereta saya dan mengugut supaya ikut mereka ke lokasi lain. Tetapi saya enggan dan lari sambil menjerit minta tolong daripada orang awam yang melalui jalan itu.

“Suspek kemudiannya cuba bertindak melarikan kereta saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ady berkata, bagaimanapun cubaan kedua-dua suspek gagal apabila kereta terbabit hilang kawalan dan terjatuh ke dalam longkang.

“Bila kereta tak boleh jalan, mereka terus melarikan diri ke arah belakang bangunan kilang berhampiran sebelum menaiki kereta bersama dua lagi rakan.

“Nasib baik mereka tak sempat buat apa-apa pada saya, cuma dompet saya dalam kereta yang mereka ambil,” katanya.

Sejurus kejadian, difahamkan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

sumber - sinar