LAHAD DATU - Kumpulan penculik yang melarikan dua wanita termasuk seorang pelancong warga China dari sebuah resort di Pulau Singgahmata, Semporna, Rabu lepas, dipercayai turut terbabit dalam insiden penculikan di Pulau Pom-Pom dan Pulau Sipadan.
Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata seorang daripada penculik itu dipercayai terbabit dalam kes di Pulau Pom-Pom pada tahun lepas manakala bakinya terlibat dengan kes penculikan di Pulau Sipadan pada tahun 2000.
"Kumpulan penculikan untuk wang tebusan ini dipercayai aktif dan agresif di selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Mohammad pihaknya juga yakin kedua-dua wanita terbabit sudah dibawa ke selatan Filipina dan Esscom sudah mengenal pasti lokasi yang mungkin dijadikan tempat mereka disembunyikan.
Kedua-duanya juga dipercayai berada dalam keadaan baik, katanya.
Mohammad berkata pihak Esscom juga tidak menolak kemungkinan penglibatan rakyat tempatan yang berasal dari Filipina yang memberi maklumat kepada anggota kumpulan penculik tersebut.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilapor oleh media sebagai berkata seorang wanita warga China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik dari Singamata Adventures Reef and Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata, dalam kejadian pukul 10.30 malam Rabu.
Wanita warga China itu yang juga seorang pelajar dikenal pasti sebagai Gao Hua Yua, 29, dari Shanghai manakala pekerja resort pula dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi, 40.
Resort di atas air dengan 60 bilik yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lepas itu berkedudukan kira-kira dua batu nautika dari pekan Semporna.
Mohammad juga berkata pada 26 Mac lepas, pasukan keselamatan Esscom mengesan lima bot cuba memasuki perairan Semporna, dipercayai untuk melakukan penculikan namun berjaya dipintas oleh pasukan keselamatan.
Mohammad juga berkata pada 26 Mac lepas, pasukan keselamatan Esscom mengesan lima bot cuba memasuki perairan Semporna, dipercayai untuk melakukan penculikan namun berjaya dipintas oleh pasukan keselamatan.
Sementara itu, Mohammad berkata 15 pekerja asing di Singamata Adventures Reef and Resort ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau yang mahu perkara itu disiasat oleh pihak berkaitan turut berkata tindakan tegas akan diambil terhadap majikan dan pengusaha resort yang didapati menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
"Di sebalik peringatan berulang kali yang diberi termasuk semasa pertemuan dengan pengusaha resort atau pusat pelancongan Sabah baru-baru ini, masih ramai yang enggan mematuhinya. Jadi kita tidak akan berkompromi dalam hal ini lagi," katanya. - Bernama