PENDUDUK BANTAH PROGRAM TANAM PADI



PENDANG - Lebih 500 petani sekitar Kawasan Mada D3, Titi Haji Idris dekat sini mahu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menangguh dan mengkaji semula bagi meneruskan Program Pembatalan Musim Penanaman Padi musim 1/2014 dan 2/2014 (setahun) di kawasan itu.

Mada dikatakan mahu meneruskan program itu supaya tanah jerlus yang menjadi masalah sekian lama di kawasan itu dapat dipulihkan kembali dan petani difahamkan akan mendapat wang ihsan yang diperuntukkan selama kerja penanaman dihentikan.

Bagaimanapun, program itu dibantah sebahagian petani di situ kerana masalah tanah jerlus sudah mula dapat diatasi selepas petani yang menghadapi masalah itu mengeluarkan wang bagi mengatasi hal itu.

Zakaria Hanafi, 47, berkata, Mada perlu menangguhkan program itu kerana musim tanaman padi 1/2014 masih boleh dilakukan di kawasan tersebut dengan musim kering sekarang ini.
Masalah tanah jerlus pula dapat diatasi petani selepas menambak serta meratakan tanah di kawasan rendah.

“Memang pada 2010 ramai petani berhadapan masalah tanah jerlus di kawasan itu dan turut memaklumkan kepada Mada, tetapi pihak tersebut mengambil tindakan lambat hingga menyebabkan mereka terpaksa melakukannya sendiri.

“Saya terpaksa menghabiskan wang sebanyak RM1,000 supaya dapat membeli 10 lori tanah bagi menambak di sawah di kawasan yang rendah dan diratakan. Tindakan ini juga turut dilakukan ramai petani di sini supaya masalah tanah jerlus dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Oleh kerana ramai petani sudah membaik pulih tanah jerlus, mereka berharap Mada dapat mengkaji semula program itu supaya petani dapat kembali hasil yang mereka laburkan selama ini.

Bagi Rosmizan Abd Rani, 27, pula berkata wang ihsan yang diberi oleh Mada itu menimbulkan masalah kerana hanya pengusaha saja dapat menerimanya seperti yang disyorkan pihak tersebut.

Keputusan itu sudah pasti akan mengundang masalah kerana pemilik tanah juga turut menuntut hak mereka kepada penyewa sawah itu. Setiap serelung sawah, pengusaha akan menerima wang ihsan sebanyak RM760 semusim (enam bulan).

Rosmizan berkata, masalah program itu juga turut memberi masalah kepada buruh yang mengambil upah sekitar sawah di kawasan itu sejak dahulu lagi.

Menurutnya, apabila sawah di kawasan itu tidak lagi diusahakan selama setahun, sudah pasti mereka akan hilang pendapatan mereka di situ.