Jalan sepanjang 1.5 kilometer itu dikatakan menjadi laluan utama penduduk dari beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Keranji dan Kampung Balik Pulau untuk ke kawasan sawah mereka.
Penduduk, Anuar Muin, 43, berkata, kebanyakan pengguna jalan ini adalah petani yang mengusahakan sawah di kawasan itu.
Menurutnya, mereka kerap berdepan masalah jalan berlopak dan becak terutamanya pada musim hujan.
"Petani terpaksa menunggang motosikal dengan berhati-hati kerana jalan sangat licin dan bimbang kenderaan mereka boleh terbabas ke dalam sawah.
“Sudah banyak kali kejadian penunggang motosikal tergelincir dan terbabas masuk ke dalam sawah kerana gagal mengawal kenderaan mereka akibat cuba mengelak beberapa lopak yang wujud di sekitar jalan itu,” katanya.
Katanya, masalah itu sudah beberapa kali dimaklumkan kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang tindakan selanjutnya.
Bagi Mohd Sapri Md Zain, 38, pula, motosikalnya sudah beberapa kali hampir terperosok ke dalam sawah kerana gagal mengawal kenderaan untuk mengelak beberapa lubang yang ada.
"Malah setiap kali mahu turun ke sawah membawa bawa mahu pun benih, kami berdepan kesukaran terutama bila musim hujan.
“Pernah beberapa kali motosikal saya terbalik kerana membawa baja di belakang hingga terpaksa dibantu oleh petani lain untuk mengangkatnya kembali," katanya.
Tambahnya, sudah sampai masanya pihak berkuasa menurap jalan itu kerana ia menjadi nadi kepada petani di kawasan ini,” katanya yang mengambil upah di sawah.
sumber - Sinar Harian