ALOR SETAR – Enakmen anti-Syiah yang
diluluskan oleh kerajaan negeri Kedah sebelum ini akan dikemas kini bagi
membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pengikut dan
penyebar fahaman Syiah.
Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad
Baderudin Ahmad berkata, enakmen sedia ada terlalu umum sehingga
menyebabkan penguat kuasa Majlis Agama Islam negeri Kedah (Maik) gagal
melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengikut fahaman itu.
“Enakmen yang sedia ada longgar dan menyebabkan pengikut dan penyebar
fahaman Syiah boleh terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya
kepada pemberita ketika hadir pada majlis pelancaran Projek Usahasama
dan Seminar Membanteras Penularan Syiah di Kolej Universiti Insaniah
(Kuin) di sini hari ini.
Beliau berkata, penasihat Undang-undang Syariah negeri dan Maik turut
mendapatkan pandangan daripada negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang
sebagai rujukan bagi memperkemaskan lagi enakmen itu.
Syeikh Baderudin juga berkata pengikut Syiah akan berkumpul di lapan
tempat yang dikenali sebagai Hauzah (sekolah) termasuk di Sungai Petani,
Alor Setar, Jitra dan Pendang.
Sementara itu di majlis yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,
Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata bahaya
fahaman Syiah perlu didedahkan kepada pelajar sejak di bangku sekolah.
Katanya, terdapat laporan bahawa segelintir guru sekolah menyebarkan
fahaman itu menerusi pembelajaran tanpa disedari oleh orang lain dan
menjadi ikutan pelajar.
“Saya terima maklumat ada guru tabika yang sebarkan fahaman Syiah kepada pelajarnya dan ini amat membimbangkan, katanya.
Tajul Urus berkata bagi membendung masalah itu pihak Kuin telah
mengambil inisiatif dengan mengedarkan 2,000 buku kepada pelajar sekolah
serta masjid dan berharap mereka memperoleh maklumat yang tepat
mengenai Syiah. – BERNAMA