Peniaga roti canai maut

Peniaga roti canai maut kemalangan

KULIM - Hasrat seorang peniaga roti canai, 27, untuk ke rumah abangnya di Kampung Dusun tidak kesampaian apabila mangsa terlibat dalam kemalangan di Jalan Kilang lama kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss datang dari arah Jalan Kilang Lama menuju ke Pekan Kulim.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa memotong motosikal jenis Honda EX5 di hadapannya.

Mangsa kemudiannya dipercayai membelok ke kiri untuk masuk ke jalan mini tar menuju Kampung Dusun sebelum dirempuh motosikal Honda EX5 yang ditunggang seorang lelaki warga Bangladesh yang datang dari arah belakang.

Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala warga Bangladesh terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan di lokap Balai Polis Kulim kerana cukai jalan tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut.