Perlis dapat tajaan RM5.5 juta

PUTRAJAYA - Kerajaan negeri Perlis menerima sumbangan penajaan berjumlah RM5.5 juta daripada syarikat korporat bagi menjayakan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-17.

Menteri Besar Azlan Man menerima penajaan itu pada majlis makan malam dan penyerahan cek penajaan temasya dwi tahunan itu di sebuah hotel terkemuka di sini.

"Penajaan besar itu jauh daripada apa yang kita sasarkan bagi penganjuran temasya ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Penaja utama Sukma Perlis kali ini ialah Tenaga Nasional Berhad dengan nilai RM3.5 juta dalam bentuk infrastruktur dan wang tunai RM200,000.

Telekom Malaysia sebagai penaja utama turut menyumbang RM1 juta.

Penaja lain ialah Spritzer, Proton, 100 plus dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA).

Sukma Perlis yang dijadual berlangsung mulai 25 Mei hingga 4 Jun akan dirasmikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 26 Mei.

Sementara, majlis penutupan akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Jun.

Temasya berkenaan menawarkan 396 pingat emas, 396 perak dan 497 gangsa bagi 24 acara sukan termasuk lima sukan pilihan iaitu golf, kanu, petanque, tenis dan tinju.

Sementara 19 lagi acara sukan wajib yang dipertandingkan ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimrama, hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, pelayaran, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, taekwondo dan wushu.

sumber - Bernama