Ampang: Polis menemui petunjuk baru yang dapat membantu siasatan untuk mengesan dua suspek yang dipercayai menembak dua anggota polis di Lembah Maju, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi besar-besaran bagi memburu dua suspek berkenaan berdasarkan petunjuk yang diperoleh.
"Kami sedang memburu mereka (suspek) dan kita percaya berdasarkan petunjuk itu ia dapat membantu siasatan polis mengesan suspek berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis terbabit di Hospital Ampang, di sini.
Beliau berkata, dua anggota polis itu dilaporkan stabil dan kini masih di rawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang.