ALOR SETAR - Seorang pesara tentera terkejut apabila rumahnya dilanda angin puting beliung di Taman Wira, Mergong di sini, kira-kira jam 1 petang semalam.
Noor Mohammad Lawamiah, 57, tidak ada di rumah ketika kejadian kerana sedang menguruskan kedai makannya.
Beliau terkejut apabila jiran menelefon memaklumkan bumbung rumahnya terbang terkena puting beliung.
“Macam tak percaya kerana mulanya cuaca elok. Tak hujan dan angin pun tak kuat.
“Saya bergegas balik ke rumah. Tengok-tengok habis sebahagian atap pecah manakala rumah jiran lain tidak kena,” katanya yang juga orang kelainan upaya (OKU).
Noor Mohammad menganggarkan kerugian kira-kira RM3,000 akibat kejadian itu termasuk 15 keping atap rumah pecah.
“Saya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan negeri membantu menampung kos membaik pulih rumah saya,” katanya yang tinggal bersama dua anak lelaki di situ.
Susulan kejadian itu, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Sementara itu, jirannya, Rokiah Omar, 67, berkata, ketika kejadian, beliau sedang makan tengah hari sebelum dikejutkan dengan bunyi bising.
Menurutnya, pada awalnya tidak terfikir bunyi itu adalah angin puting beliung yang melanda rumah jirannya.
“Makcik ingat bunyi sayap burung, lepas itu makin kuat dan bunyi ada benda pecah.
“Masa jenguk ikut tingkap dapur, makcik terkejut kerana nampak angin berpusar dalam tiga atau empat minit saja,” katanya.
sumber - Sinar