KUALA NERANG - Seramai 250 pelajar sekolah dari seluruh Padang Terap menghadiri Majlis Tautan Kasih di restoran KFC di sini, semalam.
Majlis Tautan Kasih itu dianjurkan oleh Rangkaian Anak-anak Padang Terap (Rapat) bersama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap dan KFC, bagi memberi peluang murid di sekitar Padang Terap menikmati ayam di KFC.
Penasihat Rapat, Datuk Ghazali Ibrahim berkata, kebanyakan muird yang terpilih menghadiri majlis itu ialah mereka yang jarang dapat menikmatinya.
Menurutnya, tujuan majlis itu diadakan untuk memberi peluang kepada mereka yang kebanyakannya datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan sudah pasti ibu bapa tidak mampu membawa anak mereka ke restoran ini.
“Dengan kunjungan pelajar ke sini dapatlah mereka menikmati menu yang disediakan oleh KFC,” katanya.
Ghazali berharap program seperti itu akan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan kerjasama semua pihak supaya semua golongan kurang berkemampuan di sekitar Padang Terap dapat menikmati semua pembangunan di daerah ini.
Mohd Naim Zainuddin, 11, dari Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau berkata, selama ini dia hanya melihat iklan KFC di televisyen sahaja kerana tidak mampu untuk membelinya.
Katanya, dia gembira apabila mendapat peluang seperti itu bersama rakan-rakan.
“Pakcik saya bekerja sebagai penoreh dan pendapatan yang tidak menentu serta jarak yang jauh dari pekan Kuala Nerang menyebabkan saya tidak pernah merasai keenakan ayam goreng KFC,” katanya yang juga seorang anak yatim piatu.