Saya berhak bersuara - MB Terengganu

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) menegaskan bahawa beliau berhak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pengendalian Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan insiden 'Terowong Larkin'.
Beliau berkata, sebagai Menteri Besar Terengganu, beliau tidak boleh berdiam diri demi pembangunan sukan bola sepak negeri itu.
"Ini kerana kerajaan negeri bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan bagi menanggung keperluan pengurusan persatuan dan pemain bola sepak di Terengganu.
"Yang tanggung belanja pasukan bola sepak negeri ialah kerajaan negeri. Jadi, bila kerajaan negeri keluar belanja, saya bertindak bagi pihak kerajaan dan adakah saya tak berhak berkata-kata?" tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Projek Perintis Terengganu Open Wi-fi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu semalam.
Beliau turut mempersoalkan: "Adakah FAM mampu beri sumbangan mencukupi kepada persatuan bola sepak (FA) negeri? Apakah demokrasi diamalkan FAM sampai orang tak boleh tegur?
"FAM juga milik rakyat Malaysia. Apa yang saya buat ini adalah hak rakyat dan ramai nak tahu apa perkembangan dan kebaikan.
"Ini yang tegur tak boleh dan apa pun tak boleh, bukan eksklusif dia pun. Kalau tak nak orang tegur, jadi macam inilah bola sepak Malaysia, masih terkial-kial lagi berbanding Korea dan Jepun yang pernah setaraf dengan kita dulu."
Ahmad memberitahu, beliau tetap tidak berganjak daripada kenyataan awalnya sebelum ini dan masih mempersoalkan kredibiliti jawatankuasa berkenaan dalam membuat keputusan berhubung isu tersebut.
"Sekarang kenyataannya bercanggah, dulu kata bukan alasan keselamatan sebab berdasarkan peruntukan Perkara 16 Undang-Undang FAM iaitu memutuskan perlawanan oleh pengadil atau komisioner pertandingan apabila masalah berlaku di padang.
"Tapi ini (insiden 'Terowong Larkin') berlaku di luar padang, pengadil perlawanan dan komisioner tak ada ketika itu, sebab itulah saya sebut dulu, takkan kita bodoh sangat nak tarik diri," ujarnya.
Menurut Ahmad, beliau mengeluarkan kenyataannya sebelum ini setelah mendapat laporan lengkap daripada pihak pengurusan T-Team mengenai apa yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 1 Februari lalu.
"Kita serah pada FAM buat keputusan dan rakyat akan menilai, sekarang baru dia orang bising, mentang-mentang saya tak tahu. Kalau saya pegang jawatan (Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu - PBSNT), saya tak boleh bercakap, kena pecat dan gantung pula.
"Sebab itulah saya duduk di luar (bukan Presiden PBSNT), senang dan boleh bercakap, takkan nak pecat dan gantung saya. Bila orang cakap tak boleh dan tak ada hak, (sedangkan) rakyat ada hak," ujarnya.

sumber - kosmo