Sungai Petani: Hanya kerana mahu mengelak teman lelakinya ditahan, wanita warga Indonesia sanggup menipu dengan menyembunyikan lelaki warga Bangladesh dalam almari sejurus menyedari kehadiran Jabatan Imigresen, pagi semalam.
Bagaimanapun, cubaan wanita berusia 30-an itu tidak bertahan lama apabila tindakannya itu dikesan anggota penguat kuasa yang menyerbu rumah sewa didiaminya di Taman Sejati Indah, di sini, kira-kira jam 2 pagi.
Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Nar Azaman Ibrahim berkata, dalam Ops Bersepadu 6P itu, kewujudan lelaki asing berkenaan disedari selepas mereka menggeledah bilik wanita terbabit sebelum menemui lelaki itu bersembunyi dalam almari pakaian di rumah berkenaan.
Menurutnya, pada awalnya, wanita berkenaan mengakui tinggal bersendirian, namun anggotanya curiga kerana menjumpai dua motosikal dalam rumah itu.
“Hasil pemeriksaan hampir 15 minit, akhirnya kami mendapati lelaki itu menyorok di dalam almari yang penuh dengan pakaian. Malah, kedua-dua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Wanita Indonesia itu didapati menetap lebih masa dalam negara, manakala teman lelakinya yang berusia lingkungan 30-an itu dikesan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, mereka berdua antara 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak lelaki ditahan melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi membabitkan 17 anggota penguat kuasa jam 12 tengah malam di sekitar Sungai Petani.