NAKA - Jemaah Surau Nurul Iman, Kampung Masjid dekat sini merayu kepada orang ramai supaya dapat menghulurkan sumbangan bagi membina pagar surau.
Setiausahanya, Abd Fatah Ahmad, 52, berkata, surau yang berusia enam tahun itu memerlukan sumbangan bagi membina pagar untuk menghindari ternakan masuk dan mencemar rumah ALLAH itu.
Katanya, pihaknya tidak dapat mengawal ternakan yang terbiar hingga kawasan persekitaran itu dicemar dengan najis binatang.
“Jemaah surau di sini berharap ada pihak dapat menghulurkan sumbangan bagi membina pagar supaya dapat mengawal binatang ternakan yang masuk ke surau ini. Keadaan ini terjadi kerana kadang kalanya pintu surau itu tidak tertutup menyebabkan ternakan seperti ayam dan kambing memasuki surau,” katanya.
Di samping itu juga, pihak jemaah juga turut memerlukan tangki air.
Katanya, setiap kali musim kemarau kampung itu akan berhadapan dengan masalah air untuk jemaah mengambil wuduk. Dengan adanya tangki menyimpan air, masalah itu diharap akan dapat diselesaikannya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghantarnya menerusi akaun CIMB Islamik di atas nama Surau Nurul Iman di akaun 02060000097209.