KERAJAAN negeri Kedah masih dalam proses mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan litar lumba untuk golongan belia seperti yang dijanjikan pada pilihan raya umum lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sebelum ini dua tapak telah dikenal pasti iaitu di Sungai Petani dan Gurun, namun didapati tidak sesuai.
"Nak kenal pasti satu bidang tanah yang dapat bina litar yang menepati beberapa ciri dari segi keselamatan, contohnya tak terlalu dekat dengan kawasan perumahan.
"Seperti di Sungai Petani, tapak itu terlalu dekat dengan kawasan perumahan, jadi kita bimbang ia akan mengganggu kerana bunyi bising," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sijil kursus pra perkahwinan Islam percuma di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata, tapak yang diperlukan juga mestilah tidak terlalu jauh dan memudahkan pengunjung sampai ke sana, selain kawasan yang cukup luas untuk membina ruang parkir yang selesa.
Mukhriz berkata, setelah mengenal pasti lokasi sesuai dalam tempoh sebulan ini, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Sepang International Circuit (SIC) dan membuat pengumuman mengenainya nanti.
Beliau berkata bagi permulaan, litar yang akan dibina adalah untuk perlumbaan kenderaan dua roda (motosikal) di samping satu litar sukan go-kart.
Beliau berkata, projek berkenaan dijangka dimulakan tahun ini dan pembinaannya akan mengambil masa dari setahun setengah hingga dua tahun.
Mengenai kursus pra perkahwinan itu, beliau berkata ia mendapat sambutan menggalakkan dan bagi peringkat pertama ini lebih 1,000 peserta mengambil bahagian.
Beliau berkata pada masa akan datang kursus akan diadakan di peringkat daerah.
Kursus percuma tersebut turut merupakan janji Barisan Nasional (BN) bagi membantu golongan belia mendirikan rumah tangga.