SHAH ALAM - Selepas dikecam hebat ekoran kemunculan
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ritual ‘Seru
Mayat Untuk Timbul’, Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin
sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengadakan ritual
‘menghalau puaka’ di KM306.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua
Tempurung.
Kawasan tersebut menjadi tumpuan oleh kerana menjadi lokasi
kemalangan yang meragut nyawa Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh,
73 dan pembantunya, Michael Cornelius apabila kenderaan Toyota Alphard
yang dinaiki berlanggar dengan lori Mitsubishi Canter.
Gambar ritual Ibrahim yang tersebar di laman sosial Facebook dan
Twitter mengakibatkan pelayar laman sosial sekali lagi bangkit mengecam
tindakan berkenaan.
Rata-rata rakyat Malaysia mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan
terhadap beliau daripada terus mengadakan kegiatan yang disifatkan
salah disisi agama.
Namun sejak kehadiran beliau yang membuat ritual mencari MH370
dikecam rakyat Malaysia dan media antarabangsa, sehingga kini masih
belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan
Agama Islam.
Keadaan ini dilihat seolah-olah beliau mendapat ‘perlindungan khas’ pihak tertentu.
Hal ini kerana Mesyuarat Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) pada 22-23 November 2004 memutuskan rawatan perbomohan
Ibrahim Mat Zin bercanggah dengan akidah kerana mengandungi unsur-unsur
syirik, khurafat dan penipuan.
Raja Bomoh berkenaan mendakwa kematian Karpal Singh baru-baru ini
berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung yang banyak berkeliaran di
kawasan tersebut.
Katanya, kawasan sekitar laluan Gua Tempurung itu memang terkenal
dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu
kenderaan terutamanya pada sebelah malam. -Harakahdaily.