The Pool bakal saman media?

Kelab malam The Pool mendakwa tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan parti liar ‘Topless Friday Beach Party’ di premis tersebut seperti yang didakwa segelintir pihak.

Pengurusan The Pool dalam satu kenyataan media mendakwa, kelab malam itu tidak pernah memeterai kontrak dengan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan acara seperti itu di The Pool.

Malah, dakwa kenyataan itu, The Pool yang pernah menjadi penganjur pelbagai acara termasuk `The Official Petronas Mercedes Benz F1 Team Party’, `The Miss Universe Malaysia Selection Round’ dan `Lim Kok Wing University Ball’ sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“The Pool langsung tidak menyedari sebarang bahan promosi tentang acara ‘Topless Friday Beach Party’ itu dan hanya mengetahuinya melalui media sosial dan arus perdana.

“The Pool memenuhi semua peraturan pihak berkuasa negara ini. Malah penganjur di premis kami diminta memenuhi penuh peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) meliputi pematuhan ke atas undang-undang melibatkan sensitiviti budaya dan keagamaan,” dakwa kenyataan itu hari ini.

The Pool mendakwa kenyataan mengelirukan berhubung isu itu menyebabkan kelab malam tersebut diarahkan supaya menutup sementara operasi selama seminggu sekali gus memberi kesan terhadap pengurusan, kakitangan dan reputasi kelab malam tersebut.

Sehubungan itu, The Pool memaklumkan telah mendapatkan nasihat perundangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama yang menyerang dan merosakkan reputasi baik kelab malam tersebut. 

Sumber: Mynewshub.my