Tunang Shah Jazsle tidak kisah

MUNGKIN ramai yang mahu tahu reaksi tunang Shahrizal Jaszle, Redzwani Puteri tatkala pelakon itu didakwa hanya memakai ‘boxer’ sewaktu diserbu oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun lalu.
Ternyata ia tidak menggoyahkan perasaan cinta gadis itu pada Shahrizal dan menyatakan hubungan mereka masih lagi utuh.
“Tidak ada apa-apa yang perlu saya cakap. Saya percayakannya dan terserah kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada dia berada di pihak yang benar atau salah.
“Sehingga kini, kami masih lagi berpasangan. Lagipun kami masing-masing sibuk, tidak sempat untuk bercakap mengenai perkara ini,” katanya memetik mStar Online.
Ujarnya lagi, Shahrizal sudah menjelaskan segala-galanya sebelum perbicaraan kes berkenaan dan dia sanggup menerima apa sahaja keputusan mahkamah.
Sebelum ini, keluarga Redzwani sudah memutuskan pertunangan kedua-duanya, namun disambung semula pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
“Lagipun perkara ini sudah pun lepas. Apa yang saya boleh cakap, tiada manusia yang dapat lari daripada kesilapan,” katanya.
Memang tabah sungguh hati Redzwani. Kalau orang lain, mungkin sudah lama angkat kaki.
Apa pun, kita tunggu apa sahaja keputusan mahkamah mengenai kes khalwat ini.