Dilema Melayu, Cina, India
Kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikiran rasional akan mengalami
dilema dan rasa serba salah apabila berdepan dengan istilah-istilah yang
mengelirukan seperti “keturunan”, “kaum”, “etnik”, “ras” dan “bangsa”
pada borang rasmi.
Untuk berlaku adil, orang Melayu biasanya “terlepas” daripada masalah
ini kerana mereka selalu memberikan jawapan “Melayu” bagi kesemua
kategori di atas.
Di sisi yang lain, orang Punjabi berdepan masalah kerana orang lain
biasanya keliru antara “Punjabi” dan “Sikh”, lalu menggunakan label
“keturunan Sikh” sedangkan ada orang Punjabi beragama Hindu, Islam dan
Kristian.
Bercakap tentang istilah “bangsa”, orang Cina di negara bertuah ini
selalu dilabelkan sebagai “bangsa Cina”. Mujurlah juga kerana terdapat
perbezaan ejaan antara “Cina” (orang) dan “China” (negara).
Bagi orang India pula, pasti timbul kekeliruan apabila mereka digelar
sebagai “bangsa India” kerana terdapat negara bernama “India”. Mungkin
sahaja orang Melayu kurang memahami isu ini kerana tidak ada negara
bernama “Melayu”.
Sejak dahulu, apabila saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan
begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayali, kaum
India, bangsa Malaysia. Tambahan pula, dalam surat beranak saya memang
dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali).
Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kerani atau
pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya
mencatatkan begini sahaja: bangsa India.
Meneliti erti dalam kamus
Lalu saya bertanya, bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan
dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi
ketiga-tiganya.
Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam majalah Pelita Bahasa
(September 1998), ArahKiri (Disember 2002), Kavya (Mei 2003) dan Siasah
(Jun 2003). Akan tetapi, kekeliruan dan salah tanggap terhadap
istilah-istilah ini masih wujud sehingga hari ini.
Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang
sama asal-usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia
yang menjadi rakyat sesebuah negara”.
Sementara itu, istilah kaum pula didefinisikan sebagai “golongan
orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”.
Tentu sahaja definisi ini dilihat secara umum/asas dan bukannya secara
mendalam dari sudut antropologi dan sosiologi.
Apa-apa pun, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa
(sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu
adalah warganegara atau rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk
dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak
semestinya warganegara India.
Biar kita lihat contoh mudah untuk membezakan antara “kaum” dan
“bangsa”, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Katakan A berasal
dari negeri Perak, B dari Selangor dan C dari Sabah.
Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat “kenegerian”, kita faham
apa yang dimaksudkan. Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah
yang berbeza dan memiliki sifat “kedaerahan”. Kita faham secara tepat
apa yang dimaksudkan.
Semangat perkauman, semangat kebangsaan
Sekarang kita teliti pula konvensi (kelaziman) di negara kita
terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil
contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India.
Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila G, H dan I dikatakan memiliki
sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia (Bangsa
Malaysia) atau masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan
keindiaan (khususnya berdasarkan negara asal-usul nenek-moyang)?
Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G adalah individu kaum
Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat
perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu
semangat keMalaysiaan.
Sekadar contoh mudah untuk difikirkan dan direnungkan, jika “kaum”
dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa
oleh frasa “lagu kebangsaan”, “bahasa kebangsaan”, “budaya kebangsaan”
dan seumpamanya!
Contoh-contoh mudah di atas diharap akan membuka mata orang ramai
terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum”
dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman.
Sesungguhnya saya mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia (Bangsa
Malaysia) tidak ditanya tentang kaum dan keturunan. Sementara menanti
bulan jatuh ke riba, saya akan terus mengisi borang-borang rasmi dengan
maklumat yang sama: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia.
Sudah dinyatakan bahawa perbincangan ini adalah secara umum sahaja;
tanpa pergi secara mendalam dari sudut kajian antropologi dan sosiologi.
Dinyatakan juga bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin kurang memahami
isu “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” seperti difahami (dan dihadapi)
orang “Bukan Melayu”.
Kaum Melayu tidak wujud?
Di negara bertuah ini, orang Jawa, Bugis, Minang, Batak, Arab,
Punjabi Muslim, India Muslim, Cina Muslim dan sebagainya (asalkan
beragama Islam) secara mudah dimasukkan dalam kategori keturunan, kaum,
ras, etnik dan bangsa Melayu.
Saya pernah menulis makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu”
(Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di
Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Hidayah Bangga
Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013), “Kami Tidak Masuk Melayu”
(The Malaysian Insider, 4 Mac 2013), “Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu”
(Projek Dialog, 5 Mac 2013), “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5
November 2013) dan “Hidup 1Melayu!” (Free Malaysia Today, 7 Disember
2013) berdasarkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum.
Amat jelas bahawa orang India dan orang Cina merupakan diaspora yang
wujud di Malaysia sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan warganegara
Malaysia. Bangsa India dan bangsa China pula merujuk kepada warganegara
India dan China; termasuk mereka yang tinggal/bekerja di luar negara
asal.
Bagaimana pula jika “kaum Melayu” atau “Malay race” tidak wujud? Ini
sebenarnya idea atau hujah yang dikemukakan oleh AB Sulaiman menerusi
bukunya, “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the
Malay Problem” (2013).
“There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis,
ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun dalam bukunya. Pada pandangan
beliau, “kaum Melayu” tidak wujud.
Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan
ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan
kecewa. Apa tidaknya! Survival atau kelangsungan hidup politik mereka
akan berakhir jika ia benar. Maka, mereka pasti menentang hujah ini.
Tambahan pula, menurut Sulaiman, corak pemikiran orang Melayu tidak
begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Sebaliknya ia
dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan,
berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan, serta wujud
pertentangan idea dan keangkuhan.
Melayu hanya bahasa, bukan keturunan
“Istilah ‘Melayu’ tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau etnik.
Sebaliknya istilah itu merujuk kepada bahasa yang dipertuturkan oleh
sekitar 385.5 juta orang di Nusantara.
“Akan tetapi, bahasa Melayu yang dipertuturkan penduduk pelbagai
negara di Kepulauan Melayu adalah berbeza mengikut sempadan; misalnya di
Indonesia, Malaysia dan Filipina,” tegasnya.
Hujah yang dikemukakan ini segera mengingatkan saya kepada makalah
bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013)
yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berikutan hujah dan fakta
yang dikemukakan mengenai realiti orang Melayu.
Dilema berhubung konsep “kaum” ini mungkin kurang dihadapi orang Cina
dan India kerana masih wujud negara China dan India sebagai bukti
asal-usul nenek-moyang mereka. Orang Cina dan India masih ada tamadun
yang boleh dijadikan rujukan.
Bagi orang Melayu pula, bukan sahaja kewujudan “kaum Melayu”
dipersoalkan (seperti dilakukan oleh Sulaiman) tetapi tidak wujud sebuah
negara bernama “Melayu” sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka.
Indonesia pula lazimnya tidak mahu diakui sebagai negara asal orang
Melayu.
Bagaimana dengan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia
yang memberikan definisi “Melayu” serta menjadi asas pegangan ramai?
Dinyatakan antara lain bahawa “orang Melayu” ertinya seseorang yang
menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat
Melayu.
Dalam hal ini, Dr Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dipetik oleh Sulaiman sebagai menjelaskan bahawa definisi
itu merujuk kepada “Melayu” dari sudut budaya (bahasa) dan bukannya
dari sudut biologi, keturunan atau kaum.
Tentulah pandangan ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak
selesa dalam kalangan sekelompok orang Melayu yang disifatkan oleh
Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap
seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara
rasional.
“Kebenaran budaya” tidak perlu diterima semua pihak.
Mengulas lanjut, Sulaiman mengatakan bahawa definisi “Melayu” dalam
Perlembagaan bukan berdasarkan fakta atau rujukan sains. Dengan itu,
konsep “Melayu” itu sendiri merupakan “kebenaran budaya” (cultural
truth) dan bukannya “kebenaran universal” (universal truth).
Hal-hal “kebenaran budaya” hanya merujuk kepada apa-apa yang
diiktiraf dan diterima oleh sekelompok masyarakat; bukannya hal-hal yang
sudah terbukti secara sah berdasarkan fakta yang tidak dapat
dipertikaikan serta sudah diperakukan pula secara universal.
Maknanya, Melayu atau “kemelayuan” – termasuk konsep Ketuanan Melayu
yang menjadi laungan keramat sekelompok politikus – serta sering
dilaungkan oleh sekumpulan orang India-Muslim dan Cina-Muslim di negara
ini sebenarnya hanyalah “kebenaran budaya” yang “betul” bagi kelompok
orang Melayu semata-mata.
Sekelompok orang India-Muslim dan Cina-Muslim yang beranggapan mereka
adalah orang Melayu juga ketara menerima “kebenaran budaya” itu sebagai
kebenaran hakiki. Sebaliknya, orang Bukan Melayu tidak tertakluk untuk
menerimanya sebagai fakta kerana ia bukan “kebenaran universal”.
Satu lagi contoh yang suka saya gunakan adalah mengenai Hang Tuah.
Sulaiman turut menggunakan contoh ini dalam bukunya. Hang Tuah
dipercayai pernah melafazkan kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia”.
Hal ini sering kita dengar dan baca sejak usia kanak-kanak.
Sebenarnya, Hang Tuah mungkin sahaja legenda atau mitos. Individu
bernama Hang Tuah berkemungkinan tidak pernah wujud. Ada teori
mengatakan dia sebenarnya orang Cina. Saya berpandangan bahawa kisah
Hang Tuah lima bersaudara adalah saduran kisah Ramayana dan Mahabharata.
Akan tetapi, dalam kalangan orang Melayu, kewujudan Hang Tuah adalah
“kebenaran budaya”.
Orang Bukan Melayu – serta orang Melayu di luar Malaysia – tidak
semestinya bersetuju dengan kewujudan Hang Tuah kerana ia bukan
“kebenaran universal”. Pembacaan buku “Sensitive Truths in Malaysia: A
Critical Appraisal of the Malay Problem” tulisan Sulaiman akan membantu
pemahaman lanjut berhubung topik ini.
Nampak gayanya, sementara orang Cina dan India di Malaysia menghadapi
dilema berikutan penggunaan label “kaum” dan “bangsa” serta
“pendatang”, orang Melayu pula tidak menghadapi sebarang masalah dalam
soal itu. Sebaliknya, berdasarkan kajian Sulaiman, dilema sebenar orang
Melayu adalah mengenai kewujudan “Melayu” itu sendiri!
Penulis itu dalam bukunya mengatakan bahawa orang Melayu yang
kononnya berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the
Great) kurang memiliki kepakaran dalam hal-hal teknikal. Namun begitu,
saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi
pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta
ke arah memulakan dialog sihat. -Uthaya Sankar