Warga emas derita hidap barah hempedu

Warga emas derita barah hempedu

ALOR SETAR - “Pakcik sakit lama dah. Namun kami sekeluarga tidak tahu penyakit apa,” kata warga emas, Zakaria Othman, 63, yang menderita barah hempedu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Burhan, dekat sini.

Zakaria berkata, walaupun dia kerap kali menjalani pemeriksaan di hospital namun penyakit dihidapinya masih tidak dapat dikesan ketika itu.

“Akhirnya selepas menanggung kesakitan sejak dua tahun lepas, barulah pakcik tahu yang sebenarnya pakcik menghidap penyakit yang jarang berlaku.

“Pakcik sudah menjalani pembedahan pada Februari lepas dan kini hampir setiap hari menjalani pemeriksaan di hospital berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, dia akan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali bermula pada 23 April depan.

Menurutnya, dia yang kini sudah tidak bekerja, tidak mampu menampung kos rawatan yang bakal dilaluinya nanti.

"Dua daripada empat anak pakcik berusia 17 dan 21 tahun masing-masing masih belajar di sekolah menengah serta kolej," katanya.

Bagi isterinya, Rodziah Sabu, 53, dia pernah menjalankan perniagaan nasi lemak namun terpaksa berhenti untuk menjaga suaminya itu.

“Makcik terpaksa beri perhatian sepenuhnya apabila keadaan suami makin serius. Dia nak makan pun susah, kena ikut masa dan kuantitinya,” katanya.

Katanya, mereka tidak berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan harian termasuklah kos lampin pakai buang suaminya dan terpaksa mengharapkan bantuan.