1,000 Orang Kampung Mengamuk Marah Lori

Pergerakan lori tanah yang dipandu laju sempat dirakam Sinar Harian, semalam.

Kuala Kedah – Penduduk di Kampung Pekan dan Kampung Masjid di Mukim Kubang Rotan mengadakan bantahan secara aman mengenai masalah kemasukan puluhan lori tanah yang mengakitkan kerosakan jalan dan membahayakan pengguna jalan raya di kawasan mereka.

Lebih 1,000 penduduk di sini melakukan bantahan dengan membawa poster selepas membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah.

Menurut wakil penduduk Hanisah Mohamad, 50,berkata, kemasukan puluhan lori ini berpunca dari pembinaan projek perumahan kira-kira 1 kilometer dari kawasan perkampungan mereka.

Pemandu lori ini juga dikatakan tidak mempedulikan keselamatan penduduk di kawasan itu kerana ada di antara mereka memandu dengan laju sekaligus mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan tersebut.

"Pemandu lori tidak ambil kira keselamatan penduduk kampung. Mereka pandu laju. Banyak jalan rosak, berlubang dan saliran air sawah juga pecah.

"Malah pelajar sekolah dan penduduk kampung yang melalui kawasan ini pun kerap kali terjatuh motosikal," katanya kepada media, semalam.

Sebelum ini, penduduk di sini pernah menghubungi pihak pemaju mengenai perkara yang berlaku tetapi tiada tindakan susulan dibuat bagi mengatasi masalah ini.

“Kami mahu pemaju hentikan pergerakan lori tanah dari jam 12 tengah hari hingga dua petang, setiap hari. Ini kerana pada waktu itu pelajar-pelajar baru balik sekolah dan ramai yang melalui jalan ini.

“Pada masa sama, pemaju juga mesti baiki jalan tersebut dan simbah air pada tayar supaya tidak berdebu,” katanya lagi.

Hanisah berkata, penduduk di sini tidak akan menghalang kemasukkan lori-lori tersebut sekiranya pemaju mematuhi syarat-syarat yang mereka tetapkan.

Pihak pemaju enggan mengulas mengenai isu bantahan yang telah dibuat oleh penduduk kampung ketika dihubungi oleh media semalam. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor