Abu Backer tak langgar peraturan calon - SPR


Ayer Itam, 22 Mei – Setiausaha Suruhanjaya Pilhan raya (SPR), Dato’ Abdul Ghani Salleh, mengesahkan tindakan salah seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad yang mencetuskan kekecohan dihadapan bangunan Dun Pulau Pinang adalah cara calon itu berkempen dan tidak melanggar peraturan SPR.

Pada 20 Mei yang lalu, Abu Backer bertindak menghalang  kenderaan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng keluar dari pagar bangunan Dun yang menyebabkan kekecohan berlaku.

Tindakan calon Bebas itu adalah untuk menyerahkan satu memorandum kepada Guan Eng tetapi tidak dilayan yang menyebabkan dia bertindak melompat ke kenderaan rasmi Ketua Menteri itu dan terjatuh ke jalan raya yang mengakibatkannya mengalami kecederaan.

“Saya melihat kempen di PRK Bukit Gelugor berjalan dengan baik, cuma apa yang berlaku semalam (kelmarin) iaitu salah seorang calon Bebas berkelakuan sedemikian, ia hanya cara beliau menjalankan kempen.

“Ia tidak melanggar mana-mana peraturan SPR, dan kita lihat ia sebagai cara individu itu sendiri dalam tempoh berkempen. Tiada sebarang tindakan akan diambil ke atas calon berkenaan,” katanya selepas melawat pusat mengundi awal di Balai Polis Ayer Itam, semalam.

Sebelum ini, Abu Backer ada menyatakan hasrat untuk menarik diri dari bertanding di PRK Parlimen  Bukit Gelugor kerana pihak media kurang memberi perhatian terhadap kempen yang dia lakukan dan menganggap dirinya dan calon yang bertanding sebagai calon Bebas seperti dipinggirkan.

Menurutnya, setiap calon yang bertanding di PRK ini tidak dibenarkan untuk menarik diri pada saat akhir jika berniat berbuat demikian kerana mereka sudah membayar deposit untuk menjadi calon di Parlimen berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak menerima sebarang permohonan untuk menarik diri dari mana-mana calon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak SPR menegaskan pihaknya akan sentiasa memantau pergerakan setiap calon yang bertanding di PRK ini dan akan mengambil tindakan sekiranya menerima sebarang laporan mengenai salah laku calon dalam menjalankan kempen. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor