Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu
mencetuskan kontroversi selepas mencadangkan penubuhan jawatankuasa
transgender kononnya bagi membela golongan berkenaan sekali gus
menunjukkan kesamarataan yang diamalkan Kerajaan DAP Pulau Pinang.
Dalam tindakan yang dilihat seolah-olah mahu meraih sokongan politik
itu, Yee Cheu berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut telah
dipanjangkan kepada kerajaan negeri untuk dibawa kepada Speaker Dewan
Undangan Negeri (DUN).
Malah, beliau berharap cadangan berkenaan dapat dibahaskan semasa persidangan DUN yang dijadualkan bermula dua minggu lagi.
"Jawatankuasa ini bertujuan supaya rakyat Pulau Pinang dapat memahami
berkenaan kehidupan golongan transgender yang sering dipinggirkan serta
bentuk-bentuk diskriminasi yang sering mereka hadapi," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Cadangan itu dilihat bertentangan dengan penolakan majoriti
masyarakat negara ini terhadap budaya lesbian, gay, biseksual dan
trangender (LGBT) malah seolah-olah sealiran dengan perjuangan Gabungan
NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).
Bagaimanapun menurut Yee Cheu, jawatankuasa berkenaan sekiranya
ditubuhkan bakal mempunyai dana sendiri dan boleh dijadikan sebagai
pusat bantuan dalam membela nasib golongan transgender.
Selain itu katanya, jawatankuasa berkenaan juga sebaik sahaja
ditubuhkan akan menjalankan tanggungjawab memperjuangkan pelaksanaan
pendidikan awam terhadap kumpulan transgender bagi menghalang sebarang
bentuk prejudis. -Utusan