KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyarankan usahawan Bumiputera yang sedia ada supaya memohon sijil halal bagi mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap produk mereka.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pemilikan sijil halal daripada badan pengeluar sijil halal seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), akan memberi jaminan tentang kualiti dan status bahan yang digunakan.
"Bumiputera harus memanfaatkan sijil halal sebagai nilai tambahan kepada produk keluaran syarikat bagi memasarkan produk di dalam pasaran domestik mahupun antarabangsa," kata beliau kepada pemberita di majlis pelancaran produk berasaskan kecantikan oleh Havarline Diamond Sdn Bhd di sini.
Ahmad Bashah berkata masyarakat tempatan kini lebih berwaspada dalam pemilihan produk harian walaupun ia keluaran Bumiputera.
Di samping itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera agar memanfaatkan teknologi bagi memastikan bekalan produk mencukupi bagi menampung permintaan pasaran.
"Penggunaan teknologi dalam penghasilan produk dapat membantu usahawan Bumiputera terutamanya dari sektor kecil dan sederhana untuk bersaing dengan syarikat-syarikat dan pengusaha yang lain," katanya lagi.
Menurut laporan sebelum ini, Malaysia masih kekal sebagai pengeksport terbesar produk halal dunia dengan nilai eksport berjumlah RM32.8 bilion meskipun jumlah itu hanya meliputi lima peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara tahun lepas.
Sumber: MStar