SHAH ALAM – Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja
berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah
disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan
Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr
Menachem Ali.
Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH,
semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab
suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi
mengelakkan ketegangan agama.
Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan
menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak
menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah ‘Tuhan’ dalam agama
Kristian, katanya kepada pemberita pada ‘Seminar Kalimah ALLAH dan
Kristologi Nusantara’ anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari
ini.
Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks
asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun
ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui
berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat
pada abad pertengahan dahulu.
“Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam
terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun
dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi
persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat
kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas,” katanya.
Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini
namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi
menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan
Bible versi Bahasa Melayu.
Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah
suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak
penggunaannya.
“Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama
baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak,
akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung
pada sesuatu yang bersifat kebaikan.” katanya. – BERNAMA