Artis seksi saman MAS dedah "rahsia sulit" bersama kekasih

Seorang artis wanita tanahair dan kekasihnya bertindak menyaman Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kononnya kerana ‘pencerobohan peribadi’ dengan mendedahkan maklumat penerbangan mereka berdua ke Bangkok pada 20 April lalu.

Pelakon drama, Hanez Suraya Abdul Aziz, 28, dan pasangannya, Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, mendakwa tiket penerbangan mereka telah dimuat naik di akaun Facebook, "Kami sokong Liyana Manan", beberapa jam selepas mereka mendarat di Thailand.

"Ini adalah soal pencerobohan  maklumat sulit dan keselamatan saya sebagai penumpang MAS.

"Ia telah menyebabkan kekecohan di Internet sehingga ia menjadi perbincangan umum," katanya yang tidak puas hati dengan pembocoran "rahsia sulit" bersama kekasihnya itu.

Ekoran itu, Hanez mendakwa terdapat lebih 1,000 komen negatif telah dilemparkan kepada mereka berdua sehingga menyebabkan pasangan kekasih itu mengalami tekanan emosi yang agak teruk.

Menyalahkan MAS dalam penyebaran maklumat itu, Hanez menegaskan bahawa syarikat penerbangan itu terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan bertanggungjawab memberi jaminan bahawa semua data maklumat peribadi penumpang penerbangan adalah selamat.

Justeru itu katanya, tindakan MAS atau pekerja mereka dalam mendedahkan pas masuk Hanez dan kekasihnya adalah tidak beretika dan melanggar akta berkenaan.

Hanez Suraya berkata, saman tersebut telah difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis lalu melalui peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Rahman bagi menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk serta beberapa faedah serta kos dari MAS yang dinamakan sebagai defendan tunggal dalam tuntutan berkenaan.

Pelakon wanita kontroversi itu turut mengaku dia dan kekasihnya telah menaiki penerbangan MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangkok pada tengah hari  dan  mereka telah memberikan pas penerbangan kepada kakitangan MAS di pintu masuk berlepas. 

Kontroversi membabitkan Hanez Suraya menjadi buah mulut peminat industri hiburan tempatan apabila dia dikatakan "mencuri" dan "menggoda" suami Liyana Manan yang masih merupakan isteri yang sah kepada kekasihnya, Romie Razin. -KedahNews.com