Artis tak mahu dikaitkan dengan parti pembangkang



Pelakon dan koreografer tarian , Adam Corrie, 45, meluahkan rasa kecewa apabila dikatakan dia menyertai sebuah parti politik pembangkang oleh sebuah stesen televisyen menyebabkan dirinya telah digam oleh pihak penyiaran tersebut.

Menurutnya lagi, pihak stesen berkenaan tidak menghubunginya untuk mendapat kepastian berhubung isu tersebut dan terus menjatuhkan hukuman tanpa sebarang penjelasan dari dirinya.

Adam yang popular dengan watak, Dragon dalam filem KL Gengster mendakwa stesen itu bertindak tidak menyiarkan sebuah telefilem yang menampilkan dirinya sebagai watak utama dengan alasan dia merupakan ahli parti pembangkang.

“Berita itu disampaikan kepada saya oleh pengarah selepas dia bertemu pihak atasan stesen terbabit. Pengarah hanya memberitahu karyanya tidak boleh disiarkan di stesen itu kerana saya ahli parti pembangkang,” katanya lagi.

Selain itu, dia juga mendakwa kemunculannya dalam satu program agama sebagai artis jemputan turut disunting oleh pihak stesen tersebut walaupun kehadirannya itu pada mulanya adalah undangan pihak penyiaran berkenaan.

“Saya cuma perlu bertanyakan beberapa soalan untuk empat episod program itu,”

“Saya menerima panggilan daripada rakan pengarah program itu yang memberitahu suntingan itu atas arahan pihak atasan stesen televisyen berkenaan,” katanya mengulas tindakan pihak stesen itu.

Menurut Adam, dia mahu pihak berkenaan mengemukakan bukti kukuh menyatakan bahawa dirinya adalah ahli dalam parti itu sebelum membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan fitnah terhadap dirinya. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor