Astro mahu RM4 juta untuk rakyat tonton Piala Thomas

Pihak Astro dilaporkan mahu sehingga RM4 juta dari mana-mana pihak yang cuba mendapatkan hak penyiaran pertandingan akhir Piala Thomas yang akan berlangsung di New Delhi, hari ini.

Menurut laman sosial Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pihak Astro masih enggan bertolak ansur untuk memberi hak penyiaran pertandingan akhir di antara Malaysia dengan Jepun itu meskipun telah dirayu oleh dua Kementerian.

"Mungkin pelik saya buat rayuan terbuka. Mungkin akan ada yang komen, Menteri cakap lah sahaja senyap-senyap dekat ASTRO tak yah fofular (popular). Tetapi pendirian mereka sejak semalam tegas, bayar RM4 juta untuk hak siaran", kata Khairy di laman Facebooknya semalam.

Menurut Khairy, beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, telah memohon Astro untuk memberikan hak penyiaran itu kepada RTM supaya detik-detik manis final Piala Thomas itu dapat dikongsi bersama rakyat Malaysia yang tidak memiliki Astro.

Namun, maklum balas yang diterima adalah "negatif" dan ia memaksa Menteri Belia dan Sukan itu terpaksa merayu kepada stesen televisyen berbayar itu melalui Facebook.

Khairy juga menjelaskan bahawa RTM sudah tiada peruntukan untuk menyiarkan Piala Thomas ekoran telah menggunakan bajet sedia ada untuk menyajikan kejohanan Piala Dunia di Brazil, tidak lama lagi. -KedahNews.com