Bekas pelumba Moto3 negara maut kemalangan..Al-Fatihah.

Kota Tinggi, 25 Mei – Pelumba motosikal (Cub Prix) negara, Husni Aizat Abdul Malik, 20, meninggal dunia dalam satu kemalangan maut yang berlaku di Jalan Tanjung Buai – Teluk Sengat pada jam 8.30 pagi tadi.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah ibu bapanya di Felda Air Tawar 1.

Menurut abang mangsa, Hilmi Affan, 21, mangsa bertegas ingin menunggang motosikal terbabit ke rumah sepupu mangsa yang terletak di Pasir Gudang walaupun telah dilarang oleh keluarganya sebelum kejadian berlaku.

“Kami tidak benarkan dia pergi menaiki motorsikal dan menyuruhnya membawa kereta namun dia tidak mahu dan tetap berkeras hendak membawa motorsikal tersebut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi tengah hari tadi.

Hilmi berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada saudara terdekat mengenai kejadian yang menimpa adiknya pagi tadi kerana semalam mereka  berjumpa di Pasir Gudang tetapi tidak sempat berborak kerana anaknya kurang sihat.

“Dia sebenarnya sedang bercuti daripada menjalani latihan di Sepanyol dan menghabiskan cuti bersama kami di kampung. Saya tidak sangka itu adalah kali terakhir kami berjumpa sebelum dia terlibat dalam kejadian kemalangan tersebut,” katanya lagi.


Jenazah akan di bawa ke rumah keluarga mereka di Felda Air Tawar 1 untuk dikebumikan.