Bagi peminat filem Melayu lama khususnya filem seniman agung Tan Sri P. Ramlee, dialog “Walaupun rupamu tidak ku kenal, tapi lobang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku”, pastinya mengundang ingatan kepada filem komedi ‘Seniman Bujang Lapok’.
Dialog itu yang pernah menjadi ikutan ramai diungkap oleh watak yang
dilakonkan oleh seniman serba boleh tanah air Datuk Abdul Aziz Sattar
atau nama sebenarnya Abdul Azeez Satta yang kembali ke rahmatullah awal
hari ini.
Abdul Aziz yang mesra dengan panggilan Pak Ajis dilahirkan pada 8
Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia sebelum dibawa berhijrah oleh ibu
bapanya Satimah Jalal dan Satta Sawal ke Singapura ketika berusia tiga
tahun.
Allahyarham yang dibesarkan di Kampung Panjang, Singapura hanya
bersekolah setakat darjah lima di Sekolah Melayu Kota Raja dan bekerja
sebagai pemandu lori untuk menampung kehidupannya.
Kehidupan awal beliau penuh onak dan ranjau, malah pernah ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun selepas dikatakan mencuri.
Beliau juga pernah dimasukkan ke penjara bersama bapa seniwati
Roseyatimah, dikenali Wak Jasni selepas disyaki terbabit dalam rusuhan
‘Natrah’.
Kehidupan seniman ini mula berubah apabila beliau menjadi penterjemah
di Studio Produksi Filem Melayu, Jalan Ampas selepas diajak oleh dua
sahabat baiknya pelakon Salleh Kamil dan Shariff Dol.
Beliau yang pada masa itu aktif dalam Pancaragam Suara Hiburan
Keroncong kemudian ditawar watak tambahan dalam filem ‘Putus Harapan’.
Perjalanan kariernya semakin berkembang apabila dapat memegang watak
utama dalam filem Arjuna (1954) diikuti siri Bujang Lapok (1957-1961)
dan Aksi Kucing (1966).
Uniknya kebanyakan dialog dalam filem lakonan beliau diungkap secara
spontan dan sering menjadi ikutan peminat filem-filem Melayu malar
segar.
Melalui filem-filem ini jugalah beliau menjadi sahabat baik kepada Allahyarham P. Ramlee.
Selain berlakon, Allahyarham juga pernah diberi kepercayaan mengarah
filem selain menulis skrip antaranya filem ‘Si Badol’ (1979), ‘Da Di
Du’ (1981), ‘Setinggan’ (1982), ‘Darah Satria’ (1984), dan Bujang Lapuk
Kembali Da (1984).
Bakat seninya tidak dilupakan oleh penggiat seni era moden apabila
sering diundang membintangi filem mereka antaranya ‘Cicakman’, ‘Anak
Halal’, ‘Setem’ dan ‘Pontianak Harum Sundal Malam’.
Kehebatannya sebagai anak seni diiktiraf menerusi beberapa anugerah
antaranya Anugerah Seniman Veteran ketika Festival Filem Malaysia ke-11
(1994), Anugerah Seniman Veteran (Lelaki) ketika Anugerah Bintang
Popular (2000) selain Anugerah Artis Sepanjang Zaman (Lelaki) pada
Festival Filem Malaysia ke-25.
Allahyarham turut dianugerah Tokoh Budaya Kolej Burhanuddin Helmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pada 2007 beliau dikurnia Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong.
Abdul Aziz, 89, dimasukkan ke Hospital KPJ Ampang dua hari lepas
setelah mengadu sakit dada dan meninggal dunia pukul 2 pagi tadi.
Allahyarham meninggalkan tujuh anak hasil empat perkahwinan sebelum
berkahwin kali kelima dengan Datin Hashimah Delan pada 2006. – BERNAMA