Jam 1.30 tengahhari semalam, khabar duka menjengah negara apabila bekas
Yang di-Pertuan Agong Malaysia, DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni
Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah disahkan mangkat.
Pemergian almarhum yang juga Sultan bagi Perak Darul Ridzuan menyentuh hati banyak rakyat kerana jasa beliau kepada negara.
Dilahirkan pada 1928 di Batu Gajah, Sultan Azlan dimahsyurkan sebagai
Sultan Perak ke-34 selepas kemangkatan Sultan Idris Shah pada 3
Februari 1984.
Salah satu perkara yang diingati rakyat Perak terhadap Sultan Azlan adalah kemurahan hati baginda mengeluarkan
biaya keluarga diraja untuk sambutan jubli perak sempena 25 tahun
pemerintahan baginda di negeri berkenaan pada 3 Februari 2009.
HAKIM TERMUDA
Sebelum bergelar sultan, baginda yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda
Undang-undang dari University of Nottingham, United Kingdom pernah
berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Penasihat
Undang-Undang Negeri Johor dan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi
Persekutuan Malaysia.
Pada 1965 ketika berusia 37 tahun, Sultan Azlan mencatat sejarah
sebagai hakim termuda dalam sejarah kehakiman Komanwel apabila dilantik
sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.
Seterusnya, Sultan Azlan terus mendaki puncak karier kehakiman
apabila menduduki kerusi Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya seterusnya
Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara.
PEMINAT HOKI
Bagi peminat hoki, jasa Raja Azlan terhadap sukan ini tidak dapat
dipertikaikan lagi. Meminati sukan ini sejak zaman persekolahan, baginda
mengusahakan pembinaan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh pada
1983.
Dedikasi terhadap sukan ini turut menyaksikan baginda hadir ke setiap kejohanan tahunan lima penjuru peringkat antarabangsa.
Jasa Sultan Azlan ketika hayat dibuktikan menerusi sumbangan dan
anugerah yang diterima baginda baik dari Malaysia mahu pun negara luar.
Antara sumbangan baginda adalah bergelar Canselor Universiti Sains
Malaysia (USM) Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan
Tinggi dan Canselor Universiti Malaya (UM).
Baginda telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan
oleh UM, Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang (USM), Ijazah Kehormat
Kedoktoran Undang-Undang (University of Nottingham), ‘Kerusi Kehormat’
(Lincoln’s lnn, London), Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang
(Universitas Gadja Mada, lndonesia), Ijazah Kehormat Kedoktoran
Undang-undang (Universiti Brunei Darussalam), Ijazah Kehormat
(Universiti Chulalongkon,Thailand), Ahli Kehormat The Royal College of
Physician of lreland, Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of
Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England.
DUA PUTERA, TIGA PUTERI
Hasil perkahwinan dengan Tuanku Bainun Mohd Ali, Sultan Azlan
dikurniakan dua putera dan tiga puteri iaitu Raja Nazrin Shah, Raja
Azureen, Almarhum Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.
Kecemerlangan baginda dalam pelajaran dan hidup turut tercermin pada
keturunan apabila kesemua anakanda baginda mempunyai tahap pendidikan
yang tinggi.
Sesungguhnya kecemerlangan, kehebatan dan jasa almarhum akan sentiasa dalam kenangan.
Marilah kita sama-sama menitipkan doa semoga roh Almarhum Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang diredai
Allah SWT. Al-Fatihah.
Sumber; Mynewshub.my