Bunuh diri kerana bisikan halus...


Georgetown, 18 Mei – Seorang lelaki warga emas maut akibat terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri ketika cuba diselamatkan oleh ahli bomba di tingkat 11 pangsapuri di Batu Lanchang, Jelutong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 malam semalam, mangsa yang dipercayai berniat membunuh diri itu cuba diselamatkan oleh seorang anggota bomba dan penyelamat telah terjatuh dari pangsapuri kediamannya setelah terlepas dari pelukan anggota berkenaan.

Mangsa sebelum itu dilaporkan meronta-ronta setelah anggota bomba berjaya memeluknya ketika dia sedang leka berdiri di bahagian luar tingkap rumahnya. 

Akibat tindakannya itu, difahamkan bahawa mangsa terjatuh dari bangunan tersebut.

Menurut saksi kejadian, mangsa dikatakan telah berdiri di bahagian luar tingkap rumahnya sejak jam 2.30 petang dan beberapa kali telah mengugut untuk terjun.

“Beberapa ahli keluarga dan kaunselor datang cuba menenangkannya namun pujukan mereka langsung tidak diendahkan.

“Mereka juga menghubungi anaknya yang berada di Kuala Lumpur dan menghulurkan telefon bimbit kepadanya dengan harapan dia dapat bertenang namun ternyata usaha itu hanya sia-sia,” kata seorang saksi yang enggan namanya disiarkan ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asistan Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak polis memberi kebenaran kepada anggota bomba dan penyelamat mengambil tindakan menyelamat mangsa setelah empat  jam pihaknya gagal memujuk mangsa.

“Siasatan awal di rumah lelaki berkenaan menemui sekeping nota yang ditulisnya dan dia dikatakan terpengaruh dengan suara halus yang didengarinya sejak empat bulan lalu. 

“Suara halus itu juga memujuknya untuk berbuat sedemikian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes tersebut telah diklasfikasikan sebagai mati mengejut. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor

Sumber asal: Sinar Harian