CADBURY: Kenyataan Penuh Majlis Fatwa Kebangsaan

KENYATAAN MEDIA PENGERUSI JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA MENGENAI ISU PENCEMARAN DNA BABI DALAM PRODUK SIAP DIPROSES DAN DIPASARKAN SERTA TELAH DISAHKAN HALAL

1. Untuk makluman semua, isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan telah berada di pasaran serta telah disahkan Halal dan digunakan secara meluas telah menimbulkan banyak kerumitan pada masa kini. Akibatnya, pengguna beragama Islam meragui status ‘Halal’ produk-produk makanan yang berada di pasaran dan keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan keresahan yang berlarutan di kalangan umat Islam dan ia juga menyebabkan kerugian yang besar kepada pengilang dan negara. Isu seumpama ini sebenarnya telah banyak kali berlaku dan isu Cadbury ini bukanlah kali pertama.

2. Ekoran daripada isu-isu ini Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah melantik pasukan penyelidik pakar daripada Universiti Putra Malaysia untuk menjalankan kajian secara saintifik mengenai isu ini dengan menggunakan kaedah analisis yang berkredibiliti supaya hukum yang tepat dapat diputuskan. Hasil kajian ini telah pun dibentangkan dan dipersetujui oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3 hingga 5 Februari 2014 baru-baru ini.

Hasil daripada kajian yang dijalankan selama setahun itu mendapati bahawa DNA Babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan samada ianya disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja dan kontaminasi DNA Babi yang berlaku boleh diukur dan boleh diketahui sekiranya ia berlaku melalui sentuhan secara fizikal. Kontaminasi juga berkemungkinan berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di dalam tempat yang sama dan kedua-duanya di dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku antara keduanya. Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal.

5. Hasil daripada kajian tersebut juga mendapati bahawa dalam penghasilan atau pemprosesan sesuatu produk halal, pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi dan sekiranya sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai halal.

Walau bagaimanapun, dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal dan juga telah disahkan sebagai HALAL, tetapi kemudiannya didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (batch tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai Umum al-Balwa dan hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah diluar kawalan dan amat sukar dielakkan.

6. Perlu dimaklumi bahawa keputusan Muzakarah ini tidak harus difahami bahawa apabila terdapat dakwaan produk tersebut dicemari dengan DNA bahan haram kita boleh membiarkannya begitu sahaja, adalah lebih baik apabila telah diketahui oleh Ulil Amri, maka tindakan menggantung sementara dan siasatan terperinci perlu dilaksanakan bagi mengenalpasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, samada disengajakan atau sebaliknya.

7. Dalam hal ini, umat Islam yang telah makan produk Cadbury tersebut yang telah pun disahkan HALAL sebelum ianya didakwa mengandungi DNA Babi adalah termasuk dalam kategori keadaan Umum al-Balwa (iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielakkan ) dan hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan.

Umat Islam tidak perlu rasa ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu untuk mereka menyamak perut, mulut atau menukar darah dan sebagainya kerana Islam bukanlah agama yang terlalu regid dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan kita.

8. Pendekatan hukum yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA Babi dalam produk makanan seumpama ini. Namu demikian pihak berotoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak-pihak terbabit jika didapati perkara ini dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap para pengguna.

9. Dalam hal ini saya ingin menasihatkan semua umat Islam supaya bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu ini dan elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam. Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk tersebut kerana berbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telah pun diiktiraf di peringkat dunia.

Sekian, terima kasih.

PROF. EMERITUS TAN SRI DATO’ DR. ABDUL SHUKOR BIN HJ. HUSIN
29 Mei 2014

- KedahNews.com