Che Ta suruh peminat pakai kanta!

Nama Rozita Che Wan memang tidak dapat lari dari kontroversi dan meskipun begitu, sikap selamba dirinya seolah-olah menggambarkan dia mampu mengendali atau mengatasi sebarang isu yang melanda.

Terbaru, hangat diperkatakan selebriti yang berasal dari Kedah itu memuatkan gambarnya seolah-olah "bercium" dengan suaminya, Zain Saidin, di laman sosial miliknya.

Ekoran dari gambar "daring" tersebut, sekali lagi Che Ta menggamatkan dunia gossip tanahair apabila tindakan dan gambar itu mendapat reaksi negatif dari ramai pihak.

Mungkin selamba dan bersahaja, mengetahui batas-batas kewajaran dirinya sebagai selebriti kontroversi, Che Ta mempertahankan gambar panas itu dan menggelar sesetengah peminat yang mengkritiknya sebagai "terlalu buta".

"Orang buta kalau lihat gambar itu pun tahu saya tidak bercium. Sebaliknya, kami hanya ambil gambar pandang suami saya dengan jarak yang cukup dekat. Kalau tidak nampak, sila pakai kanta," katanya memetik laporan sebuah akhbar, baru-baru ini.

Che Ta memegang prinsip bahawa seseorang itu wajar memuat naik sebarang gambar yang disukai di laman sosial masing-masing dan tidak terkecuali seorang selebriti sepertinya.

Sehingga kini, kami difahamkan bahawa Che Ta akan terus memuat naik gambar-gambarnya di laman sosial sama ada di Facebook, Twitter atau Instagram miliknya. -KedahNews.com