Alor Setar, 26 Mei – Seorang
wanita mengalami kerugian bernilai hampir RM40,000 apabila disamun oleh dua
orang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dirumahnya di Kampung Tengah,
Kuala Kedah jumaat lalu.
Kejadian berlaku pada jam 8.20
malam ketika mangsa, Faridah Mohamad bersama seorang anak saudaranya sedang
menonton televisyen di ruang tamu.
Menurut mangsa, kedua-dua suspek
yang berusia 20-an datang ke rumahnya dan memperkenalkan diri sebagai anggota
polis sebelum meminta kebenaran untuk masuk bagi melakukan pemeriksaan.
Kedua-dua suspek yang lengkap
bertopi keledar penuh bertindak mengugut mangsa apabila enggan membuka pintu
rumah.
“Apabila saya enggan membuka pintu,
mereka mengugut mahu menendang pintu rumah sehingga pecah dan mahu membawa
lebih ramai anggota polis bagi menakutkan saya.
“Bimbang
dakwaan lelaki itu saya membuka satu tingkap dan meminta mereka menunjukkan
waran geledah dan kad kuasa polis, namun sepantas kilat seorang daripada mereka
memasukkan tangan dan membuka tombol pintu dari dalam rumah, katanya lagi.
Suspek bertindak mengikat kedua-dua
mangsa yang berada di dalam rumah itu menggunakan kain dan mengeluarkan parang
mengugut mangsa menyerahkan barang kemas dan wang tunai.
“Mereka masuk ke
dalam bilik dan menggeledah bilik sebelum melarikan rantai emas, loket emas,
gelang emas, cincin emas dan wang tunai berjumlah RM1,000 dengan nilai
dianggarkan RM40,000 lalu menumbuk kepala saya beberapa kali sebelum beredar,”
kata mangsa mengulas kejadian yang berlaku.
Mangsa telah membuat laporan di
Ibu Pejat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor (gambar hiasan)