Seramai 200 orang antaranya ahli Umno dan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) bertindak merempuh pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau
Pinang membantah kenyataan wakil rakyat DAP yang membuat kenyataan
disifatkan biadab.
Kejadia berlaku pada pukul 2.10 petang hari ini apabila
kumpulan itu tidak berpuas hari dengan kenyataan Ahli DUN Seri Delima,
RNS Rayer yang menyebut “Celaka, Celaka, Celaka Umno” ketika membahaskan
usul ucapan terima kasih atas perasmmian oleh Yang diPertua Negeri
Pulau Pinang semalam.
Difahamkan sidang DUN juga menjadi kecoh apabila ada kumpulan
yang berjaya memasuki dewan persidangan ADUN dan menyuarakan bantahan
serta membuat kekecohan.
Menurut laporan laman portal Mstar Online, kumpulan berkenaan keluar
dari perkarangan DUN menuju ke arah bertentangan bagunan itu pada pukul
2.55 petang dan masih belum bersurai sepenuhnya.
Selain membantah, mereka turut membaling telur ke pintu utama untuk
masuk ke DUN menyebabkan lalu lintas di hadapan bangunan berkenaan sesak
di Lebuh Flight di Georgetown, Pulau Pinang.
Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin ketika ditemui
berkata, kenyataan Adun pembangkang itu menggambarkan Rayer sebagai ahli
politik tidak matang.
“Kita minta YB Rayer tampil ke hadapan. Kita tidak akan
berhenti di sini saja. Kalau dia tak keluar kami akan kejar dia sampai
ke rumah,” katanya.
Jasmin turut menuntut Rayer untuk memohon maaf dan menarik kata-katanya yang dilihat sengaja menyalakan sentimen perkauman.
“Selagi dia tak minta maaf, kita tunggu dia. Kalau dia tak
nak keluar, minta maaf. Jangan kurang ajar dengan kita… jangan sentuh
Melayu.
“Kita tak bagi tempoh masa untuk dia minta maaf. Kita mahu dia perbetulkan tindakannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash
Wahid yang hadir bersama sepasukan anggota polis mengarahkan kumpulan
lelaki terbabit bersurai bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku. –
MYNEWSHUB.MY