Ekspedisi Greenland: Situasi terkini anak Kedah

Misi penjelajahan Greenland kini telah memasuki fasa pertengahan dan ia akan melepasi separuh jarak perjalanan ekspedisi berkenaan.

Menurut Ketua Ekspedisi, Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin turut memaklumkan berita baik apabila beberapa penjelajah yang sebelum ini mengalami maslah kesihatan telah kembali sihat dan besemangat meneruskan misi.

“Mereka dijangkakan melepasi penjelajahan pada ketinggian 2,500 meter dalam masa dua atau tiga hari lagi, In Sha Allah, semua yang dirancangkan berjalan seperti yang kita harap dan doakan.

“Mereka kini bergerak pada jarak antara 17 hingga 20km sehari dan akan menambah jarak penjelajahan dari semasa ke semasa,” kata Muqharabbin dalam status laman Facebook KE7B Malaysia Greenland 2014.

Menurut beliau, pergerakan pasukan penjelajahan kini bergerak pada suhu kira-kira -35°C darjah celsius dan mereka bakal berdepan suhu lebih rendah iaitu dibawah -40° darjah celsius ketika sampai pada ketinggian 2,500 meter.

“Selepas itu, mereka akan melalui kawasan landai dan menurun.

“Saya bersyukur dan bangga di atas ketabahan dan semangat kental ke semua penjelajah kerana mereka sanggup menghadapi situasi luar jangka dan ters meneruskan ekspedisi.

“Ekspedisi dijangka dapat ditamatkan dalam masa 29 hingga 33 hari daripada tarikh mereka memulakan ekspedisi,” kata Muqharabbin dalam status berkenaan.

Muqharabbin yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) berkata pasukan penjelajahan berkemungkina akan melepasi dua kawasan menarik iaitu dua tempat radar Amerika Syarikat DYE yang telah tidak diduduki atau terbengkalai.

“Semalam mereka telah menjelajah lebih kurang 250km dan berkhemah pada ketinggian 2286 meter,” katanya.

Ekspedisi Greenland 2014 anjuran KE7B bermula pada 24 April lepas dan dijangka berakhir kira-kira selama 35 hari.

Misi merentasi pulau ais terbesar di dunia ini dijayakan oleh lapan peserta iaitu Yanizam Mohamad Supiah (Ketua Penjelajah), Abdul Rahman Abu Hassan, Tahira Najmunisaa Mohd Zaid, Shaiful Hisyam Abd Aziz, Mohd Akasyah Jamaludin, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, Muhd Hafizuddin Abdul Mutalib dan Muhammad Musaddiq Samsudin. – MYNEWSHUB.MY