KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui calon
parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd.
Daud mempunyai pendirian yang sama dengan DAP berhubung undang-undang
hudud.
Beliau mendakwa, Dyana Sofya menyokong pendirian DAP iaitu membantah
pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia kerana ia bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Dyana Sofya telah menyatakan sokongan kepada pendirian DAP untuk
tidak membantah hudud dalam Islam tetapi membantah pelaksanaan
undang-undang hudud di Malaysia kerana ia bertentangan dengan
Perlembagaan.
“Pendirian Dyana itu lebih baik berbanding pemimpin UMNO yang mahu
melaksanakan undang-undang hudud,” dakwanya melalui satu kenyataan media
hari ini.
Guan Eng dalam pada itu melahirkan rasa tidak puas hati beliau ke
atas jentera Barisan Nasional (BN) kerana didakwa melakukan serangan
peribadi bagi merosakkan karakter Dyana Sofya.
Menurutnya, serangan itu termasuk mempersoalkan kelayakan beliau
sebagai seorang peguam, hal paras rupa, fitnah memakai bikini,
menggelarnya seorang penipu serta seorang anak kecil yang memerlukan
puting.
“Dyana Sofya diejek kerana terlalu bergantung kepada pemimpin DAP,
Lim Kit Siang, malah mendakwa Dyana Sofya menangis tanpa kehadiran Kit
Siang,” katanya.
Sumber: Mynewshub.my