Gombak – Dara perkasa! Itulah gelaran layak diberikan terhadap seorang gadis
berusia 21 tahun yang berani mengejar seorang peragut sebelum membelasah
penjenayah lelaki terbabit hingga lembik di Taman Prima Gombak di sini,
semalam.
Dalam kejadian 9.30 pagi itu, gadis terbabit dikatakan sedang minum
bersendirian di sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian sementara
menanti kehadiran rakannya.
Sumber polis berkata, seorang peragut tiba-tiba muncul sebelum meragut beg tangan gadis itu yang diletakkan di atas meja makan.
“Mangsa yang berang dengan kejadian itu nekad mengejar suspek sejauh
100 meter. Suspek ketika itu dilihat cuba melarikan diri dengan
motosikal yang diletakkan tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Mangsa bagaimanapun melepaskan tendangan terbang mengenai tubuh
suspek yang ketika itu cuba menghidupkan enjin motosikal. Tendangan kuat
itu menyebabkan suspek terjatuh ke atas jalan raya,” katanya. – Harian
Metro