PETALING JAYA – Pelakon Hanez Suraya menjelaskan tindakannya
memfailkan saman terhadap Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sengaja
diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak hanya kerana dia bergelar
selebriti.
Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 28, berkata,
tindakannya itu adalah proses biasa sebagai seorang pelanggan MAS yang
privasinya telah diceroboh sehingga menyebabkan dia menjadi bahan
perbincangan umum.
“Ini adalah berkaitan dengan privasi dan hak saya sebagai pelanggan
MAS yang telah diceroboh tanpa kerelaan saya dan berharap peminat tidak
terus membuat kesimpulan negatif terhadap tindakan saya itu hanya kerana
saya seorang selebriti,” jelasnya.
Hanez dan kekasihnya Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, memfailkan
saman tersebut di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22
Mei lalu menerusi peguamnya, Wan Nurliyana Abdul Rahman.
Pasangan itu mendakwa beberapa jam selepas mendarat di Bangkok pada
20 April lalu, mereka dimaklumkan oleh rakan-rakan yang sebahagian
daripada salinan pas masuk mereka telah muncul di akaun Facebook yang
dikenali sebagai “Kami sokong Liyana Manan” termasuk 1,000 komen yang
mengejek mereka.
“Biarlah apa orang nak cakap tentang perkara itu kerana saya sudah
serahkan kepada peguam dan saya dinasihatkan tidak mengulas panjang
mengenai perkara ini,” katanya.
Bagaimanapun Hanez mengakui ada menerima panggilan daripada pihak MAS
selepas memfailkan saman dan respon diberikan positif. Dalam
perkembangan lain, Hanez berkata dia kini sedang sibuk dengan latihan
teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana
Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan.
Teater terbitan Mask Team itu membariskan barisan pelakon Izzue Islam,
Shah Iskandar, Kaka Azraff, Sherry Alhadad dan Kilafairy. - mStar Online