"Haruan makan anak" dihukum penjara 13 tahun, 10 sebatan


Kuala Terengganu, 19 Mei – Seorang bapa telah dijatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan 10 kali sebatan oleh mahkamah seksyen terhadap kesalahan merogol anak kandungnya sebanyak dua kali pada 16 Ogos dan 12 September tahun lalu.

Tertuduh yang disabitkan dengan dua pertuduhan itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukum di bawah Seksyen 376(B) 1 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anaknya didalam sebuah bangsal di kebun sekitar jam 3.00 pagi pada 16 Ogos tahun lalu.

Ketika kejadian, tertuduh dikatakan telah mengejut mangsa yang berumur 15 tahun dan membawanya ke bangsal sebuah kebun dan menyuruh mangsa untuk tidur di bangsal berkenaan sebelum bertindak merogol mangsa tanpa kerelaan pada jam 3.30 pagi.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat yang sama sekitar jam 9.30 malam pada 12 September tahun lalu.

Mangsa telah diajak ke bangsal tersebut pada jam 5.00 petang untuk menemani tertuduh tidur  di bangsal kebun itu dan pada jam 9.30 malam tertuduh bertindak merogol mangsa sekali lagi.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Dungun  pada 24 September 2013, jam 10.40 malam bersama ahli keluarga mangsa.

Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Balai Polis Dungun yang diketuai oleh Inspektor Mohamad Ramizan Ramli, berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang pada 29 September 2013, jam 11.00 pagi.

Semasa pertuduhan dibacakan semalam, tertuduh mengaku bersalah dan diarahkan menjalani hukuman secara serentak iaitu di penjara selama 13 tahun dan 10 sebatan iaitu masing-masing lima sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Ismail. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor