Hudud: DAP tegas tak pernah ubah pendirian

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa PAS tidak pernah merubah pendirian parti itu untuk melaksanakan undang-undang hudud di negara ini.

Beliau mendakwa, PAS tidak merubah pendiriannya meskipun membatalkan hasrat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan Jun 2014.

Kit Siang turut menegaskan, DAP juga tidak pernah merubah pendiriannya bahawa undang-undang hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

“DAP dan PAS tidak pernah merubah pendirian masing-masing tentang hudud tetapi UMNO, MCA dan Gerakan yang telah merubah pendirian mereka,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media hari ini melaporkan PAS membatalkan hasrat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan Jun 2014.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu dipetik berkata, pembatalan itu kerana PAS bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan.

Kit Siang dalam pada itu mendakwa, keputusan MCA tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor bukan kerana mahu memberi tumpuan ke atas usaha menghalang PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Beliau sebaliknya mendakwa, MCA membuat keputusan itu kerana bimbang akan mengalami kekalahan lebih teruk berbanding kekalahan yang dialami di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13. – Mynewshub.my