Isra' Mikraj: Perjalanan Rasulullah SAW ke Baitul Makmur yang menakjubkan!

BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti terjadinya peristiwa tersebut.

Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan.

Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau mengatakan peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiulawal.

Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam pelbagai hadis. Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah.

Derdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa ini berlaku sebelum hijrah ke Madinah.

Malam itu, baginda berada di rumahnya di Mekah. Jibril AS dan dua orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka membawa Buraq, iaitu seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar daripada keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang.

Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju Masjidil Aqsa. Setibanya di masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid. Seterusnya baginda masuk ke dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat.

Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga) di turunkan dari langit. Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit pertama, kedua dan seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit, Rasulullah SAW berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya, Isa, Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim.

Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi SAW menginjak batu Sakhrah pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih. Demikian penjelasan Syeikh Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.
Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat yang sangat tinggi. Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok besar yang ditutupi oleh warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar telinga gajah dan buahnya seperti kendi Hajar.

Rasulullah turut diperlihatkan Baitul Makmur iaitu kiblat hamba Allah di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi kiblat manusia di bumi. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak keluar lagi. Baginda juga diperlihatkan syurga dan neraka.

Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap Allah SWT. Para ulama berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat itu atau tidak. Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda menerimanya dengan patuh.

Apabila turun, baginda kembali berjumpa dengan Nabi Musa AS di langit kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda meminta keringanan bagi umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu melaksanakan kewajipan itu.

Baginda setuju dengan saranan itu, lalu kembali kepada Allah untuk tujuan tersebut.

Setelah lima kali turun naik, Allah SWT mewajibkan solat hanya lima waktu sahaja.

Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil Aqsa, lalu menaiki Buraq ke Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum matahari terbit.

Baitulmaqdis

Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis menjadi destinasi Israk dan bukan tempat lain?

Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang didirikan sebagai rumah ibadat menyembah Allah SWT. 

Yang pertama ialah Masjidil Haram di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub, cucu Nabi Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun.

Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama kali dibina?” 

Baginda menjawab: “Masjidil Haram.” Abu Zar bertanya lagi: “Lalu masjid apa?”

Rasulullah menjawab: “Al-Masjid al-Aqsa.”

“Berapakah selang masa antara (pembinaan) kedua masjid ini?” tanya Abu Zar lagi.

Baginda menjawab: “Empat puluh tahun. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Simbolik

Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid pertama di dunia. Kedua-duanya simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.

Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis menandakan bahawa Islam adalah lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan seluruh nabi-nabi sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup seluruh kenabian.

Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya: “Baitulmaqdis adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim.

“Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan di sana. Rasulullah SAW mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang dikedepankan.”

*PENULIS sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor