Isytihar keluar MCA, tapi sokong BN sepenuhnya


Bandaraya Melaka, 18 Mei – Timbalan Ketua Pemuda MCA Kota Melaka, Dr Yee Kok Wah telah mengumumkan keluar parti namun memutuskan untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN) semalam.

Keputusan tersebut dibuat kerana beliau mengaku telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan MCA yang diketuai oleh Presiden Parti MCA, Dato’ Seri Liow Tiong Lai.

Menurut Kok Wah, kepimpinan parti dilihat banyak membuang masa selepas berakhirnya Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu dan mendorongnya menghantar surat peletakan jawatan dari semua jawatan parti serta keahlian dalam parti ke ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur.

“Dengan ini, saya boleh mengesahkan bahawa saya telah menarik diri sebagai ahli MCA kerana saya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti (Liow Tiong Lai).

“Saya berharap tindakan saya melepaskan jawatan dan keahlian ini akan menyebabkan kepimpinan parti lebih serius dalam usaha mentransformasikan MCA,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya lagi, keputusan untuk keluar parti bukan satu penghalang untuknya terus menyokong BN walaupun sudah keluar daripada MCA.

“MCA adalah sebuah parti yang baik. Cuma sayang kepimpinan parti mengecewakan saya. Ini satu tindakan amat berat untuk saya lakukan. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan penuh kepada klinik serta keluarga saya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kok Wah, pernah disebut sebagai barisan kepimpinan masa depan parti MCA negeri tersebut selepas mendapat banyak sokongan generasi muda kepada beliau.

Keputusan beliau keluar daripada parti merupakan keputusan yang dibuat sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan orang lain.
Pada PRU ke-13, Kok Wah bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Melaka bagaimanapun tewas kepada Sim Tong Him (DAP) dengan majoriti 20,746 undi. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor