TIDAK dinafikan, kejayaan Barat dalam memonopoli pelbagai bidang
termasuk ilmu pengetahuan, teknologi dan ekonomi pada masa kini telah
meletakkan mereka sebagai negara kuasa besar dunia.
Malah, menjadi fenomena yang dibanggakan jika terdapat dalam kalangan
kita yang berjaya melanjutkan pelajaran atau berkhidmat di negara yang
dianggap pencetus kepada pembaharuan tamadun dunia itu.
Sehinggakan secara tidak disedari, hakikatnya Islam yang telah
mencipta tamadun dengan lahirnya ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai
bidang seperti teologi, falsafah, sains dan teknologi mula terhakis
secara perlahan-lahan dalam minda manusia.
Bahkan, semasa tamadun Islam berada di dalam era kegemilangannya
iaitu pada abad pertengahan sehingga abad ke-14 Masihi, Barat masih lagi
dalam zaman kegelapan. Barat ketika itu masih memusuhi sains dan
melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama.
Sarjana Barat juga didakwa giat berguru dengan ulama Islam seperti
yang didedahkan oleh seorang penulis, Turki Fuat Sezgin, yang
menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums.
Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah memperkenalkan tamadun
bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau
kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan,
kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama.
Peradaban manusia
Menyokong perkara itu, pendakwah antarabangsa, Dr. Isam Rajab
berkata, kemajuan dan peradaban manusia berkemungkinan tidak akan
sehebat pada hari ini jika tanpa sumbangan dan panduan agama Islam.
Ia katanya, selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan perihal
akhlak dan keperibadian manusia yang bermula daripada dalam diri setiap
individu.
Justeru, tambahnya, garis panduan dan didikan bermula daripada akar
umbi yang telah ditetapkan oleh Islam secara tidak langsung menjadikan
tamadun manusia bertambah maju dan berkembang pesat sehingga ke hari
ini.
Islam menganjurkan kepada umatnya untuk bersaudara. Ia bermaksud
kita dituntut untuk saling kenal-mengenali dan tolong-menolong antara
sesama manusia, bukan hanya menjaga kepentingan diri sendiri atau
membuat urusan sendiri.
Islam juga menitikberatkan soal keadilan bagi menjadikan manusia
sentiasa akan merasa selamat dan terpelihara tidak kira sebarang
sentimen atau sebab. Islam telah menyediakan undang-undang yang Allah
SWT jelaskan menurut al-Quran untuk menghukum pesalah dan membela
kebenaran.
Selain itu, pendustaan, hasutan dan fitnah sangat ditegah di dalam
Islam. Perkara yang disuruh dan dilarang menurut Islam ini semuanya
mempunyai hikmah yang diperintahkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada wacana Why People Need Islam: Now More
Than Ever yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia
di TTDI, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, kegagalan manusia dalam mengikuti garis panduan yang
dianjurkan oleh Islam itu menjadikan manusia hidup dalam kucar-kacir dan
dalam ketakutan, sekali gus membantutkan perkembangan tamadun dan
kemajuan manusia.
Manusia akan hidup dalam kegelapan. Sentiasa dalam ketakutan,
rasuah, penipuan dan maksiat bermaharajalela di muka bumi ini. Ia
apabila tiada lagi keadilan, kejujuran dan nilai kemanusiaan dalam diri
seseorang.
Kesannya, peradaban manusia akan semakin kucar-kacir dan tidak
seimbang. Yang kaya akan terus hidup mewah, manakala golongan miskin
terus ditindas dan tidak menikmati kebahagiaan hidup," jelasnya.
Kehadiran Islam
Kehadiran agama Islam katanya, memberikan kebahagiaan kepada manusia
dan penyelesaian kepada segala masalah dengan hanya merujuk kepada
al-Quran dan sunnah.
Memberi contoh kejayaan pemerintahan Islam pada zaman Rasulullah SAW
dan sahabat, Rajab berkata, umat Islam hidup dalam kemewahan sehingga
tiada siapa yang layak untuk menerima zakat.
Ia berikutan, kebijaksanaan pemerintah pada masa itu yang bertakwa
dan berpegang teguh kepada Allah SWT dengan melaksanakan pemerintahan
berlandaskan Islam.
Yuran pendidikan adalah percuma, insurans, ansuran kenderaan dan
rumah juga boleh dihapuskan sekiranya umat Islam yakin dan berpegang
teguh dengan kaedah ekonomi Islam. Seperti yang diamalkan pada
pemerintahan Islam terdahulu yang mengutamakan konsep wakaf.
Bukan itu sahaja, malah manusia tidak perlu bimbang masalah sosial
dan jenayah yang berlaku apabila ajaran Islam menjadi garis panduan
amalan harian kita," katanya.