KUALA LUMPUR – Juara program Fear Factor
Malaysia musim kedua, Erin Malek mengakui dia kini sedang menjalinkan
hubungan cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai ‘F’ sejak empat bulan
lalu selepas bertemu di laman sosial Instagram.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina
Abdul Malek, 20, berkata, dia tidak menyangka bertemu dengan lelaki
tersebut menerusi laman sosial itu selepas setahun dia memutuskan
hubungan dengan bekas kekasihnya.
“Permulaan kami agak lucu apabila kami
bertemu di Instagram selepas saya secara tidak sengaja melihat profilnya
dan dari situ kami mula berkenalan menerusi internet.
“Bagaimanapun kesibukan kami dengan
kerjaya masing-masing membuatkan hasrat untuk berjumpa sering tergendala
sehinggalah pada suatu hari kami bersetuju untuk bertemu dan
segala-galanya bermula pada saat itu,” jelasnya kepada mStar Online.
Erin ditemui ketika menghadiri majlis
tayangan episod kemuncak Fear Factor Malaysia (FFM2) musim kedua yang
diadakan di Restoran Picknik di Publika di sini pada Ahad.
Pelakon itu muncul sebagai juara FFM2 bersama pasangannya Redha sekaligus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.
Dalam pada itu, Erin berkata, biarpun
jarak usia mereka berbeza sebanyak 10 tahun namun dia selesa berkawan
dengan lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai seorang yang matang,
romantik dan penyayang.
Malah Erin turut menyifatkan ‘F’ sebagai
cinta hatinya dan memberitahu sudah bersedia untuk menamatkan zaman
solonya dengan lelaki itu biarpun masih muda.
“Saya tertarik dengan kematangannya
sebagai seorang lelaki dan paling penting dia tidak menghakimi tentang
apa juga gosip dan cerita kurang enak mengenai saya sebelum ini.
“Pada tahap ini saya sudah bersedia
untuk bergelar isteri dan soal umur bukan satu masalah kerana paling
penting kita bertemu dengan orang yang tepat dan sesuai.
“Berdasarkan pengalaman lalu saya sudah
malas untuk bercinta lama-lama kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana
dan ‘F’ adalah cinta hati yang melengkapi diri saya sebagai seorang
wanita,” tuturnya.
Pun begitu kata Erin, itu bukan bererti
dia akan berkahwin dalam masa terdekat sebaliknya sebagai seorang dewasa
dia realistik dengan keadaan dan meletakkan soal jodoh kepada ketentuan
Tuhan.
Bagaimanapun dia tidak menafikan ada
berbincang tentang soal perkahwinan dengan teman lelakinya sebelum ini
dan berharap peminat mendoakan kebahagian mereka berdua.
Dalam perkembangan lain, Erin berkata,
selain bakal muncul dengan musim terbaharu drama bersiri Misiku Kuza
bersama Arja Lee dan Hairul Azreen, dia juga akan terlibat dengan
beberapa buah telefilem dan drama bersiri sehingga penghujung tahun ini.
“Alhamdulillah rezeki dalam bidang
lakonan semakin murah tambah-tambah lagi selepas kejayaan Misiku Kuza
dan program Fear Factor Malaysia,” jelasnya. – mStar Online